Kes Zara: Inkues akan jelaskan segala-galanya – Razali



KOTA KINABALU: Inkues berhubung kematian Allahyarhamah Zara Qairina akan menjadi medan penting untuk menjelaskan kebenaran sebenar, kata Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohd Razali Razi. 

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan, semua pihak wajar memberi ruang kepada proses berkenaan kerana keputusan inkues bakal merungkai segala persoalan yang timbul.

“Buat masa ini, kita bukan fokus kepada politik atau pilihan raya, sebaliknya kepada keadilan serta sokongan emosi kepada keluarga. 

"Inkues ini akan menjawab segala-galanya,” katanya selepas menghadiri majlis tahlil, bacaan Yasin dan doa selamat bagi Allahyarhamah Zara, malam tadi.

Majlis anjuran Gagasan Rakyat itu dihadiri lebih 1,500 orang termasuk Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Sementara itu, Dr Mohd Arifin berkata, Ketua Menteri menzahirkan penghargaan atas penganjuran majlis itu serta berharap ia membawa manfaat kepada semua.

“Ketua Menteri juga berpesan agar kita membaca Yasin dan doa untuk arwah.

"Beliau berada di Sandakan menghadiri beberapa acara, namun beliau ada bersama jemaah di Masjid Bandaraya untuk mendoakan arwah Zara,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama