PPM Wilayah 4 tumpaskan sindiket seludup diesel terbesar di Sabah


Gambar ihsan PPM Wilayah 4

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi terbesar di perairan Kota Kinabalu, hasil risikan dan pemantauan hampir sebulan.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Jabatan Laut Malaysia.

Dalam serbuan itu, dua buah kapal disita manakala enam lelaki tempatan berusia 25 hingga 43 tahun yang juga kru kapal ditahan untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan lanjut menemukan lebih 250,000 liter diesel bersubsidi yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan kepada pelbagai kapal lain di kawasan terbabit.

Turut dirampas dua kapal, peralatan serta beberapa dokumen berkaitan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan itu.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM45 juta.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua kapal terbabit aktif melakukan transaksi minyak secara haram di laut terbuka dengan modus operandi yang licik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sejak Januari hingga Jun lalu, PPM Sabah merekodkan 119 kes penyelewengan bahan api melibatkan petrol dan diesel.

Rampasan keseluruhan melebihi RM81 juta dengan seramai 135 individu ditahan sepanjang tempoh itu.

PPM Wilayah 4 turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan perairan negara.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama