FKAT perlu masuk kalendar pelancongan negara – Nizam

 

TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) yang kini memasuki edisi ke-10 wajar diangkat sebagai antara produk pelancongan utama negara dan dimasukkan dalam kalendar rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sudah tiba masanya Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebagai penganjur utama menghantar permohonan rasmi kepada MOTAC supaya festival itu diiktiraf di peringkat persekutuan.

Katanya, pengiktirafan itu penting lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan mampu memartabatkan lagi FKAT ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Walaupun FKAT sudah ada dalam kalendar pelancongan negeri, kita mahu ia dilihat sebagai acara bertaraf nasional.

“Jadi, saya seru MPT segera ambil tindakan dengan hantar permohonan rasmi kepada MOTAC,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-Aluan sempena FKAT 2025 di sini, malam tadi.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas yakin, usaha mengangkat FKAT ke peringkat nasional akan mendapat perhatian Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan yang juga anak jati Sabah.

“Insya-Allah, kita akan bawa perkara ini ke peringkat kementerian. Saya percaya mereka nampak potensi besar FKAT sebagai platform mempromosikan budaya Sabah ke mata dunia,” katanya.

Beliau berkata, FKAT bukan sekadar pesta persembahan budaya, sebaliknya menjadi simbol perpaduan rakyat berbilang kaum dan lambang keharmonian di Tawau.

Katanya, sejak dianjurkan pada 2011, FKAT berjaya memartabatkan budaya pelbagai etnik dan memperkukuh hubungan masyarakat setempat.

“Tahun ini, kita terima penyertaan 30 etnik tempatan dan delegasi dari Kazakhstan, Filipina serta Indonesia. Ini bukti FKAT semakin dikenali dan menarik minat luar negara,” katanya.

Tambahnya lagi, festival itu bukan saja meriah dengan persembahan dan perarakan budaya, tapi turut menampilkan pameran etnik, makanan tradisional dan jualan kraftangan.

"Tema tahun ini, ‘Kepelbagaian Budaya’ memberi fokus kepada kepahlawanan, masakan tradisi dan adat perkahwinan pelbagai etnik di Tawau.

“Kita jangka lebih 50,000 pengunjung akan hadir pada hari kemuncak berdasarkan sambutan hebat yang diterima sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam turut memaklumkan bahawa projek pembinaan Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (Tawau International Cultural Centre - TICC) kini sedang rancak dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“TICC akan jadi mercu tanda baharu Tawau dan pusat utama acara budaya, selain lambang pengiktirafan terhadap warisan serta sumbangan masyarakat majmuk di daerah ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama