![]() |
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kaharuddin Ambo Sakka |
PAPAR: Polis mengesahkan setakat ini tiada bukti anak orang kenamaan (VIP) termasuk ahli keluarga menteri dan pihak Istana Negeri Sabah terbabit dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Zara Qairina Mahathir.
Memetik sumber Info X, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak dan tidak berkompromi dalam setiap aspek siasatan kes tersebut.
“Siasatan yang dijalankan setakat ini tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan (VIP) dalam kes berkenaan, memandangkan tiada rekod menunjukkan anak-anak mereka bersekolah di sekolah itu.
“PDRM juga menegaskan tidak akan ada kompromi atau perlindungan kepada mana-mana pihak yang terbabit, tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan dijalankan secara menyeluruh dan adil bagi memastikan keadilan kepada keluarga mangsa.
Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat atau menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan sistem keadilan.
Terdahulu, tular dakwaan di media sosial yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dalam kes itu hingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Semalam, Istana Seri Kinabalu turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dalam kes berkenaan.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian lanjut sebelum diserah ke Pejabat Peguam Negara.
Setakat ini, seramai 60 saksi termasuk guru dan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, dirakam keterangan.
Allahyarham Zara Qairina dipercayai meninggal dunia akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.