PPM serbu ‘port’ dadah di Semporna, dua warga asing dicekup

 

SEMPORNA: Tindakan dua lelaki warga asing menjadikan sebuah rumah di Kampung Halo, di sini, sebagai ‘port’ pengedaran dan penagihan dadah memakan diri apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), kelmarin.

Dalam serbuan jam 6.40 petang hasil risikan, kedua-dua suspek berusia 46 dan 58 tahun ditahan, manakala syabu seberat 1,019.93 gram bernilai RM70,000 berjaya dirampas.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, rumah berkenaan dipercayai dijadikan pusat kegiatan pengedaran dadah oleh suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM70,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kejayaan operasi itu hasil maklumat awam dan intipan berterusan anggota PPM dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di kawasan berisiko tinggi.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah. 

"PPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah bagi membantu tindakan penguatkuasaan secara berkesan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama