Hari Sabah kekal perayaan tahunan penting - Peto

 

Peto ketika ditemui media.

KOTA KINABALU:  Perayaan Hari Sabah akan terus kekal sebagai satu perayaan penting untuk rakyat negeri ini dan akan diraikan setiap tahun.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Peto Galim berkata sambutan kali ini merupakan edisi kedua yang diadakan secara rasmi di Padang Merdeka selepas dianjurkan di Keningau.

"Hari Sabah ini akan kekal sebagai satu perayaan yang penting untuk rakyat Sabah of course akan diraikan setiap tahun. Ini adalah ketetapan jemaah menteri.

"Ini adalah perayaan yang kedua secara official di Sabah, di Padang Merdeka dan pernah juga kita buat di Keningau sebelum itu ,"katanya ketika ditemui media selepas selesai sesi temubual dalam segmen Santai Kupi-Kupi FM di Konti Radio Kupi-Kupi FM, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun terdapat pandangan yang mengatakan sambutan ini hampir serentak dengan Hari Kebangsaan, kedua-duanya mempunyai identiti tersendiri. 

"Sudah tentulah kita akan buat perayaan ini setiap tahun. Walaupun ramai yang mengatakan ia serentak dengan Hari Kebangsaan.Hari Kebangsaan kita buat sebelah pagi, Hari Sabah ini kita buat sebelah malam.

"Ada kemungkinan perayaan Hari Sabah ini kita akan bawa di kawasan-kawasan ataupun pekan-pekan besar di Sabah," jelasnya.

Menurutnya, katanya, beberapa acara dikurangkan sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi semasa. 

"Kita ada sedikit perbezaan selain daripada aturcara yang ada agak sedikit kurang pada tahun ini disebabkan situasi yang berlaku di sekeliling kita. Kita telah tidak mengadakan perayaan- perayaan yang menampakkan kita sangat happy. 

"Sedangkan ada juga saudara-saudara kita yang mengalami kesusahan. So kita kurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak menjadi asas kebersamaan untuk semua." jelasnya. 

Beliau turut menyeru semua rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang budaya, bahasa, kepercayaan atau bangsa, agar hadir bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut. 

"Marilah kita bersama-sama merasai semangat kebersamaan, berganding bahu, hadir dan meraikan Hari Sabah ini. Jangan sesekali menjadikan perbezaan bangsa, warna kulit atau agama sebagai penghalang untuk kita bersatu dalam perayaan ini," tambahnya.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama