Polis cari suspek buang bayi di kebun sawit

LAHAD DATU: Polis sedang giat mengesan individu dipercayai terbabit dalam kes pembuangan seorang bayi lelaki yang ditemui masih bernyawa di sebuah kebun sawit di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata bayi cukup sifat itu dijumpai orang awam kira-kira jam 8 pagi sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis.

“Bayi berkenaan segera dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut. 

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang bertanggungjawab dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

“Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau mana-mana balai polis terdekat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama