PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pertuduhan terhadap beberapa remaja dalam kes membabitkan Allahyarham Zara Qairina dibuat khusus berhubung perbuatan buli semata-mata dan tidak ada kaitan dengan kematian pelajar itu.
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, AGC menjelaskan keputusan mendakwa remaja terbabit mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat selepas penelitian rapi terhadap kertas siasatan polis.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana ia merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Kenyataan pihak peguam keluarga arwah yang menyebut sebaliknya adalah bersifat spekulatif dan tidak disokong dengan fakta tepat,” katanya.
AGC turut menegaskan pendakwaan yang dibuat adalah berasaskan bukti serta fakta yang diperoleh hasil siasatan, bukannya andaian semata-mata.
Pada masa sama, jabatan itu menjelaskan prosiding inkues tetap perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian pelajar tingkatan satu berkenaan.