![]() |
Tey ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU - Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) memberi peluang kepada prospek untuk kembali kepada keluarga ataupun masyarakat lebih awal bagi menyokong pemulihan serta integrasi sosial.
Pengarah Penjara Negeri Sabah & WP Labuan, TKP Tey Hock Soon berkata mengikut rekod semasa seramai 600 orang prospek di Sabah kini sedang mengikuti program PBSL ini.
"Selain berada bersama keluarga ada juga prospek-prospek yang sudah ditawarkan pekerjaan oleh majikan-majikan yang sudi bekerjasama dengan Jabatan Penjara dengan memberi gaji minimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
"Peluang pekerjaan ini juga ditawarkan kepada prospek yang sedang menjalani pembebasan awal secara parol bagi memberi persediaan kepada mereka melangkah ke arah yang lebih baik" katanya kepada media selepas membuat kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Tun Musa di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Menurut Tey, kunjungan ini adalah bagi memperkenalkan barisan kepimpinan Jabatan Penjara Negeri Sabah di bawa seliaan beliau selain memaklumkan kepada Tun Musa inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh jabatan dalam membantu prospek kembali pada masyarakat.
"Secara keseluruhannya, Tun Musa amat berpuas hati dengan inisiatif yang diperkenalkan antaranya PBSL dan Parol serta memberi cadangan kepada kami agar mengadakan kerjasama dengan agensi negeri sekiranya perlu" katanya lagi.
Beliau turut menambah meskipun terdapat prospek yang melanggar syarat parol namun mengikut statistik yang dicatatkan agak rendah memandangkan mereka dipantau oleh pegawai-pegawai parol.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)