KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony diberi masa selama 14 hari untuk memfailkan petisyen pengampunan susulan permohonan semakannya berhubung kesalahan pemalsuan dokumen ditolak Mahkamah Rayuan pada 20 Ogos lalu.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya berkata kegagalan Peter untuk berbuat demikian akan menyebabkan Peter terbabit hilang kelayakan sebagai ADUN berdasarkan Perkara 17(1)(e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah.
"Dalam hal ini, perintah sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.
"Mengikut Perkara 17(1)(e) di bawah Perlembagaan Negeri Sabah, mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri yang disabitkan atas kesalahan oleh Mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Namun peruntukan tersebut hendaklah dibaca bersama dengan peruntukan-peruntukan lain di bawah Perlembagaan Negeri Sabah yang berkaitan dengan kehilangan kelayakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Jika seorang Ahli Dewan Undangan Negeri telah disabitkan dengan kesalahan menurut Perkara 17 (1) (e) Perlembagaan Negeri Sabah iaitu dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau denda sebanyak tidak kurang RM2,000, maka menurut Perkara 17 (3A) Perlembagaan Negeri Sabah, Ahli Dewan Undangan Negeri tersebut akan hilang kelayakannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri sekiranya tiada petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh sabitan nya seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 17 (3A) tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan bertempat di Bangunan DUN Sabah, di sini, hari ini.
Susulan itu, beliau turut berkata Peter mempunyai tempoh masa sehingga 2 September ini untuk mengemukakan petisyen pengampunannya.
"Jika dia berhasrat sedemikian dan sekiranya petisyen pengampunan tersebut tidak difailkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan maka kerusi Kerusi ADUN N.42 Melalap dengan sendirinya akan menjadi kosong pada 3 September 2025," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Peter kekal dikenakan hukuman penjara tiga tahu dan denda RM50,000 berhubung kesalahan pemalsuan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakannya.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah membuat keputusan terbabit selepas menolak permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.