Peguam Ibu Zara kecewa AGC tidak bantah permohonan peguam bela lima remaja

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian almarhumah Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini menyaksikan keputusan penting apabila Mahkamah Koroner membenarkan pasukan peguam bela lima remaja perempuan tertuduh turut menjadi pihak berkepentingan, meskipun dibantah oleh peguam keluarga mangsa.

Peguam mewakili ibu Zara, Shahlan Jufri, berkata pihaknya kecewa kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mengemukakan bantahan terhadap permohonan tersebut.

“Kami agak kecewa kerana tiada bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, walaupun kami menghormati keputusan itu. 

“Hakim akhirnya membenarkan semua peguam bela bagi lima tertuduh kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak keluarga mahu inkues itu diteruskan tanpa sebarang penangguhan.

“Inilah yang keluarga minta sejak awal daripada permohonan gali semula, bedah siasat kedua, hingga inkues. Kami mahu inkues ini berjalan lancar bagi mengetahui punca sebenar kematian Zara,” katanya.

Menurutnya, prosiding akan berlangsung seperti ditetapkan pada 3 dan 4 September, dengan Hakim Koroner baharu, Amir Shah Amir Hassan menggantikan Azrina Aziz.

Sementara itu, peguam bela remaja tertuduh, Datuk Ram Singh, menjelaskan permohonan mereka untuk menangguhkan inkues dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

“Permohonan kami bukan bertujuan melengahkan inkues, tetapi sebahagian daripada proses undang-undang. 

“Kami hanya menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 333(3) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Namun, beliau mengesahkan permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Koroner, dan prosiding akan tetap dijalankan mengikut tarikh ditetapkan.

“Buat masa ini terdapat dua proses undang-undang berjalan serentak, iaitu inkues dan perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak. Kami akan memastikan hak anak guam kami terus dilindungi,” katanya.

Shahlan dalam pada itu turut memaklumkan senarai saksi akan diserahkan selewat-lewatnya esok, manakala dokumen berkaitan akan diberikan kepada pihaknya sebelum 2 September.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama