Individu luar ganggu petugas media buat liputan kes Zara - SJA

KOTA KINABALU: Pengamal media berdaftar yang bertugas untuk membuat liputan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini berdepan dengan gangguan dari segelintir individu luar sehingga menimbulkan kesulitan.

Presiden Pesatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil berkata pihaknya memandang serius berkaitan perkara terbabit khususnya ketika sidang media inkues kes Zara di mahkamah, baru-baru ini. 

Menurutnya, terdapat individu yang tidak dikenali dan bukan dari kalangan wartawan agensi media berdaftar turut berada bersama petugas media yang berkumpul untuk membuat liputan sidang media.

"Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka. 

"Justeru, pihak SJA mahu aspek penguatkuasaan yang lebih ketat untuk melindungi wartawan bertugas.

"Terdapat individu bukan petugas media sebenar mengganggu semasa liputan kes ini dengan memasuki zon media dan membuat penstriman langsung yang sepatutnya untuk orang ramai, tapi dijadikan sebagai cara untuk memperoleh keuntungan wang. 

"Tindakan sedemikian menjejaskan kerja hakiki wartawan dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Mariah turut menekankan maklumat yang salah seperti kesilapan dalam melaporkan prosiding undang-undang disebarkan secara meluas oleh sumber yang tidak disahkan. 

"Akses kepada sidang media sepatutnya mengutamakan media berdaftar untuk memastikan laporan yang tepat," katanya.

Susulab itu, pihaknya menggesa agar pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah dan melarang rakaman jika tidak dibenarkan.

Katanya, ia bagi mengelak agar akses kepada media berdaftar tidak terjejas ketika bertugas membuat liputan.

"SJA menggesa semua pihak menghormati piawaian kewartawanan dan tuntutan undang-undang. 

"Setiap laporan yang bertanggungjawab bukan disensasikan, tetapi yang terbaik untuk kepentingan dan keadilan awam," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama