Pendedahan golongan muda kepada sejarah lahirkan generasi patriotisme

 

Jainisah ketika ditemui media.

KOTA MARUDU: Usaha mendedahkan golongan muda kepada sejarah mampu melahirkan generasi cintakan negara. 

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Hendrus Anding berkata kurangnya pengetahuan golongan muda terhadap sejarah negara mengikis semangat patriotisme dalam jiwa mereka. 

"Walaupun bermacam usaha kerajaan telah dilakukan untuk menambah dan menyuntik semangat patriotisme kepada rakyat Malaysia khususnya pelajar ini tetapi kita dapati bahawa masih ada golongan belia khususnya remaja yang tidak tahu menghargai semangat patriotisme. 

"Mereka masih tidak mempunyai semangat patriotisme yang mendalam dan rasa cinta yang mendalam kepada negara kerana mereka mungkin tidak tahu atau kurang tahu mengenai sejarah negara ini mahupun perjuangan pemimpin kita yang terdahulu. 

Persembahan Koir menyambut ketibaan peserta konvoi KMJG.

"Jadi usaha-usaha yang ada sekarang ini dengan mendedahkan generasi kepada sejarah perlu terus digiatkan lagi supaya ianya dapat mencakup dan menakluk pemikiran golongan muda supaya mereka merasa bangga dan tahu betapa istimewanya berada di dalam negara Malaysia, "ujarnya ketika ditemui media dalam majlis Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Dewan Perdana SMK Tandek, pada Rabu. 

Ketibaan Konvoi KMJG di SMK Tandek disambut dengan persembahan koir pelajar-pelajar tingkatan enam membawakan lagu patriotik "Setia" dan "Sabah Id Ginawoku". 

Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor memaklumkan konvoi KMJG akan terus menyemarakkan semangat sambutan bulan Kebangsaan ke seluruh pelusuk negeri Sabah. 

"Dengan jarak 2,222 KM kami sampai di daerah Pitas dan Kota Marudu menyantuni masyarakat dan pelajar pelajar sekolah. 

"KMJG akan terus menjelajah untuk sama-sama mengajak seluruh rakyat di negeri Sabah untuk menyemarakkan lagi sambutan bulan kebangsaan dan juga hari Sabah. 

"Kita juga meneruskan seruan untuk menyebarkan kempen satu rumah satu Jalur Gemilang dan satu bendera Sabah memandangkan tahun ini juga selain daripada hari kebangsaan, kita juga akan menyambut hari sabah pada tarikh yang sama pada 31 Ogos, "ujarnya.

Turut hadir, Pengetua SMK Tandek, Pandir Loda dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Sabah, Izmat Razwan Mamat.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama