Warisan Rungus semarakkan KMJG Matunggong

 

Roslin Momili ketika menunjukkan teknik tenunan kain tradisional Rungus.

KUDAT:  Warisan budaya masyarakat Rungus dan semangat patriotisme mengibarkan Jalur Gemilang menyerikan Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Kecil Matunggong.

Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Pekan Matunggong pada petang Rabu, dirasmikan Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki.

Peserta konvoi KMJG Sabah disambut dengan persembahan Tarian Mongigol Sumundai daripada Persatuan Adat Seni dan Budaya Kudat. Tarian tradisi masyarakat Rungus itu biasanya diiringi paluan gong yang dimainkan oleh enam hingga tujuh orang pemalu gong.

Selain itu, para peserta konvoi turut disajikan demonstrasi tenunan tradisional Rungus dikenali sebagai Magavol yang dihasilkan secara manual menggunakan alat tenun Babaal, memperlihatkan kehalusan seni dan identiti warisan masyarakat tempatan di Matunggong.

Dalam ucapannya, Datuk Julita mengajak rakyat menyemarakkan kempen kibar Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kebangsaan melalui inisiatif “Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG)”.

“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, kita bukan sahaja memeriahkan suasana Hari Kemerdekaan tetapi juga memperkukuhkan ikatan sebagai rakyat Malaysia. Jalur Gemilang adalah simbol penyatuan rakyat berbilang kaum di bawah satu identiti,” katanya.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Tinah Maralin serta Pengarah Penerangan Sabah merangkap Ketua Konvoi KMJG Sabah 2025, Jainisah Mohd Noor.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama