![]() |
Tun Musa (lima dari kanan) dan Zainudin (lima dari kiri) merakamkan foto bersama enam penerima Biasiswa Anugerah Cemerlang TYT Sabah. |
KOTA KINABALU: Pelajar terbaik Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 peringkat kebangsaan, Daniel Hakimi Roland, 19, merupakan antara enam pelajar yang menerima Biasiswa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2025.
Pelajar cemerlang aliran sains sosial itu merekodkan pencapaian maksimum Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM di Kolej Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kota Klias, Beaufort dan memilih untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan.
Lima pelajar lain termasuk pelajar Kolej Matrikulasi Selangor, Nur Batrisya Sumar, 19, dari Telipok, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Bachelor of Accounting (Hons) di Durham University, United Kingdom dan pelajar berasal dari Tenom, Christabel Heng Fook Yun, 18, yang bakal meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di Trinity College Dublin, Ireland.
Biasiswa tersebut turut diterima oleh pelajar dari Papar, Elena Roland Banus, 21, yang akan melanjutkan pelajaran di peringkat Bachelor of Engineering (Hons) di The University of Queensland, Australia dan pelajar dari Putatan, Aisha Azizul, 19, pula akan meneruskan pelajaran ke peringkat BA Human, Social and Political di University of Cambridge, England.
Pelajar yang bercita-cita menjadi Akauntan, Nurul Aisyah Awang Basri, 19, dari Keningau juga dianugerahkan biasiswa TYT dan akan melanjutkan pengajian dalam kursus Advances Accounting with Placement di Queen's University, United Kingdom.
Majlis penyampaian surat tawaran biasiswa berprestij itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Dewan Kunjungan Istana Seri Kinabalu, pada selasa.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Zainudin Aman bersama Ahli Jawatankuasa Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.
Pewujudan Biasiswa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah telah diluluskan melalui Mesyuarat Kabinet pada 30 Januari 1982 Biasiswa ini diberikan kepada pelajar yang memperoleh keputusan terbaik dalam peperiksaan STPM.
Pada Mesyuarat Kabinet pada 7 Ogos 1991, kelayakan akademik tawaran biasiswa berkenaan telah dipanjangkan ke peringkat Asasi/ Matrikulasi/ A-Lèvel dalam kalangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.
Malah, penganugerahannya adalah berdasarkan kepada merit pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang dan pelajar boleh memilih tempat pengajian masing-masing di dalam atau luar negara.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)