Ibu Zara kelihatan tenang sepanjang prosiding permohonan inkues pagi ini

Ibu arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat (tengah) di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini 

KOTA KINABALU: Kehadiran ibu kepada almarhumah Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pagi tadi, menarik perhatian apabila beliau kekal tenang sepanjang prosiding permohonan inkues kematian anaknya.

Beliau tiba jam 8.50 pagi diiringi wakil NGO, Marhamah Rosli, serta pasukan guaman keluarga. Walaupun menjadi tumpuan media, riak wajahnya tidak menampakkan kesedihan sebaliknya menyambut salam wartawan dengan senyuman.

Sebelum melangkah masuk ke Mahkamah Koroner, beliau sempat berhenti seketika, melemparkan senyuman seolah-olah memberi isyarat bahawa dirinya tabah dalam menuntut keadilan.

Sebaik prosiding selesai, ketenangan itu terus terserlah ketika peguam keluarga, Shahlan Jufri, mengadakan sidang media di luar perkarangan mahkamah.

Ditanya sama ada ibu Zara ingin memberikan kenyataan, Shahlan menegaskan semua kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan oleh pasukan guaman.

Shahlan berkata, keluarga bersemangat untuk meneruskan prosiding selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan yang dibuat pihak pembelaan.

“Ibu Zara bersemangat, memang inilah hari yang ditunggu-tunggu. Sejak awal lagi keluarga mahu inkues ini diteruskan.

“Bila permohonan penangguhan tidak dibenarkan, saya percaya beliau gembira untuk melihat prosiding berjalan,” katanya.

Menurutnya, ketenangan yang ditunjukkan hari ini menggambarkan kekuatan keluarga yang mahu mencari kebenaran di sebalik tragedi menimpa Zara.

Inkues kematian Zara Qairina akan bermula pada 3 dan 4 September depan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, yang menggantikan Azreena Aziz.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama