KOTA KINABALU: Barisan peguam yang mewakili Allahyarham Zara Qairina Mahathir berharap individu yang bakal didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan supaya hukuman tinggi dikenakan terhadap mereka jika berlaku sabitan.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, barisan peguam berkata pihaknya masih belum mengetahui identiti individu yang bakal didakwa di mahkamah berhubung kes allahyarham Zara Qairina.
Walau bagaimanapun, mereka menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa suspek dimana ia selaras dengan cadangan yang pernah dikemukakan pihaknya pada 14 Ogos lepas.
"Kami merujuk kepada kenyataan media Peguam Negara pada hari ini berkenaan keputusan menuduh suspek-suspek yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina.
"Kami menyambut baik keputusan Peguam Negara di atas. Keputusan tersebut adalah selaras dengan cadangan kami kepada Jabatan Peguam Negara melalui kenyataan media kami pada 14 Ogos 2025.
"Cadangan kami ketika itu ialah memandangkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah mendedahkan bahawa wujud keterangan yang menjurus ke arah buli, sebelum kejadian menimpa Zara, pendakwaan perlu dilakukan terhadap individu-individu di dalam keterangan terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
"Setakat waktu pengeluaran kenyataan media ini, kami tidak mengetahui mengenai identiti individu-individu yang akan didakwa di mahkamah dan peruntukan undang-undang yang digunakan dalam pertuduhan nanti" jelas dalam kenyataan media terbabit.
Hari ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkatar seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini, berhubung kes buli melibatkan Allahyarham Zara Qairina.
Katanya, semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.