KUALA LUMPUR: Prosiding perbicaraan bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan ke 2 September depan.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette, berikutan peguam utama pasangan terbabit, Datuk Seri K Kumaraendran, dilaporkan tidak sihat.
“Datuk Kumaraendran tidak sihat kerana terdapat cecair dalam peparu dan masih menjalani rawatan yang mempunyai kesan sampingan,” kata Teh.
Susulan itu, mahkamah turut melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan esok dan Rabu ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, membantah permohonan penangguhan itu dengan menegaskan pihaknya bersedia untuk meneruskan prosiding.
“Jika keadaan kesihatan peguam masih sama, tertuduh pertama boleh memberi keterangan pada 2 September nanti,” katanya.
Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan pasangan itu mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri.
Mahkamah Rayuan pada 18 November 2024 membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum itu membebaskan mereka pada 7 September 2023.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, pada 2 September 2022 turut mengarahkan pasangan itu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Bung Moktar, 65, ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 bagi meluluskan pelaburan Felcra berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Selain itu, beliau turut didakwa memperoleh RM337,500 melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) atas nama Zizie Izette, 46, daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad bagi tujuan