![]() |
Hasan ketika melawat pameran di sekitar lobby utama Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru, hari ini. |
KOTA KINABALU: Perpustakaan Negeri Sabah bakal mengadakan program tahunan Minggu Perpustakaan dengan pengisian lebih segar dan inovatif yang bertemakan ‘Perpustakaan Memperkasa Kehidupan’ pada tahun ini.
Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Hasan Mahali berkata, penganjuran tahunan ini selari dengan usaha kerajaan memperkukuh akses rakyat kepada ilmu, teknologi dan kebudayaan.
“Program ini mencerminkan bahawa perpustakaan hari ini bukan lagi sekadar pusat bacaan, tetapi telah berkembang menjadi pusat pembangunan sahsiah, pengukuhan kemahiran dan pencetus inovasi dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Perpustakaan 2025 bertempat di Perpustaakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw dan Timbalan Pengarah merangkap Pengerusi Minggu Perpustakaan tahun ini, Palmela Esther Mosinoh.
Beliau turut merasmikan majlis berkenaan bagi mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Menurut Hasan, antara tarikan utama tahun ini ialah night\@thelibrary, program unik yang membolehkan pengunjung merasai pengalaman perpustakaan selepas waktu operasi biasa, dari jam tiga petang hingga 12 tengah malam.
“Inisiatif ini membuka ruang kepada masyarakat mendekati ilmu dalam suasana lebih santai, mesra dan interaktif melalui aktiviti seperti kuiz, bengkel, pertandingan, tayangan filem dan pelbagai aktiviti mendidik serta menghiburkan,” jelasnya.
Selain itu, pelbagai program lain turut dianjurkan sepanjang minggu, termasuk Pertandingan Membaca Berita, Pertandingan Reka Cipta STEM di 13 cawangan, Bengkel Kaligrafi Cina 2.0 serta pertandingan ReadQuest.
Hasan menegaskan, KSTI sentiasa menyokong inisiatif yang menerapkan elemen teknologi dan inovasi seperti yang dilaksanakan oleh Perpustakaan Negeri Sabah.
“Sokongan ini sejajar dengan matlamat kerajaan memperkukuh keupayaan rakyat melalui platform pendidikan tidak formal yang inklusif dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat,” tambahnya.