LAHAD DATU: Tiga lelaki dan dua wanita yang disyaki terbabit kegiatan pelacuran menggunakan aplikasi MiChat dicekup polis dalam serbuan Ops Noda di sebuah hotel, malam tadi.
Dalam operasi jam 9.30 malam itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan semua suspek yang masing-masing berusia 18 tahun.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Haji Ismail berkata, kegiatan tidak bermoral itu dipercayai mula dijalankan sejak Mei lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan aplikasi MiChat untuk mencari pelanggan dengan bayaran antara RM150 hingga RM300 bagi setiap langganan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk telefon pintar, kondom, resit hotel dan kunci bilik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 372A/372B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda atau sebatan.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun serta sebatan,” katanya