Mohon tangguh untuk pastikan prosiding inkues adil dan menyeluruh - Ram Singh

 

KOTA KINABALU: Tindakan memohon penangguhan prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir bukan bertujuan melengahkan keadilan, sebaliknya langkah sah mengikut proses undang-undang.

Peguam bela yang mewakili salah seorang daripada lima remaja bawah umur dalam kes berkenaan, Datuk Ram Singh, berkata permohonan itu adalah hak pasukan pembelaan bagi memastikan prosiding berjalan secara adil dan menyeluruh.

“Kami tidak pernah berniat untuk melengahkan prosiding. Inkues ini penting untuk mencari kebenaran. 

"Namun ia mesti dilakukan dengan betul dan adil kepada semua pihak, termasuk anak guam kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Koroner, di sini, semalam. 

Menurutnya, pasukan pembelaan masih belum menerima senarai penuh saksi yang akan dipanggil, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada remaja yang dituduh akan turut dipanggil memberi keterangan.

“Kami juga mahu tahu siapa lagi dalam kalangan saksi kanak-kanak yang akan memberi keterangan. 

"Soal keselamatan dan perlindungan terhadap mereka juga perlu diambil kira sepenuhnya,” katanya.

Ram turut menegaskan, pihaknya berhak mencabar sebarang bukti atau isu yang berkemungkinan menjejaskan pembelaan anak guam mereka.

Dalam prosiding sama, beliau bersama dua lagi peguam, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, memohon untuk diterima sebagai pihak berkepentingan serta meminta penangguhan inkues.

Permohonan itu disokong dua lagi peguam, Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah, yang turut mewakili empat pesalah juvana dalam kes sama.

Bagaimanapun, peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina, Shahlan Jufri, membantah permohonan berkenaan dengan menyifatkan campur tangan pihak yang pernah dituduh sebagai cubaan mengganggu kelancaran usaha mencari keadilan.

“Ibu arwah, Noraidah Lamat, sudah melalui keputusan yang amat berat apabila membenarkan jenazah anaknya digali semula demi siasatan. Maka adalah penting inkues ini diteruskan tanpa gangguan,” katanya.

Sementara itu, Koroner dan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz, memutuskan inkues akan diteruskan mengikut jadual asal, namun akan dijalankan di hadapan koroner baharu, iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Senarai saksi dijangka dimuktamadkan hari ini, manakala dokumen berkaitan prosiding perlu diserahkan selewat-lewatnya Selasa depan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama