![]() |
Fakhrul ketika ditemubual pemberita selepas Majlis Penganugerahan Penajaan Pendidikan Petronas Tahun 2025, semalam. |
KOTA KINABALU: Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, Beaufort menjadi antara salah seorang penerima Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2025, sekaligus mencatat sejarah sebagai pelajar pertama dari sekolahnya menerima anugerah berprestij itu.
Mohamad Fakhrul Farihin Ismina @Isnain, 18, yang berasal dari Kampung Beringin Bukit menyatakan rasa syukur dan teruja apabila diumumkan sebagai penerima dan menyifatkan peluang itu sebagai “one in a million chance” dalam hidupnya.
“Saya sangat gembira dan teruja. Saya rasa saya pelajar pertama dalam sejarah sekolah saya yang berjaya mendapat tajaan ini.
"Saya terus maklumkan kepada ibu bapa dan mereka memeluk saya sambil menangis kegembiraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Penajaan Pendidikan PETRONAS 2025 di The Magellan Sutera Resort, di sini, semalam.
![]() |
Penerima tajaan pendidikan PETRONAS merakam detik bersejarah bersama tetamu kehormat selepas majlis penyampaian tajaan yang berlangsung di Kota Kinabalu. (Ihsan: Petronas). |
Bercerita lebih lanjut, menurutnya keputusan untuk memohon tajaan ini timbul selepas mendapat galakan daripada guru ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mohamad Fakhrul berkata dirinya lebih rasa bertambah bersyukur dengan penganugerahan tajaan pendidikan itu berikutan beliau bukan datang dari keluarga senang.
“Saya juga datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Ayah saya hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM700 hingga RM800 sebulan.
"Ibu saya pula, suri rumah. Kami tak mampu beli komputer riba atau tablet, malah tuisyen pun tak mampu,” katanya.
Pelajar bongsu daripada tiga beradik itu bakal melanjutkan pengajian dalam jurusan Pemasaran dan Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya (UM).
Katanya lagi, walaupun ibu bapanya tidak dapat hadir ke majlis terbabit, beliau tetap bersemangat dan hadir sendiri menaiki bas yang disediakan oleh pihak PETRONAS.
“Saya berjanji kepada ibu bapa, saya akan berjaya dan bawa mereka tinggal bersama saya suatu hari nanti.
"Saya akan mendedikasikan diri saya untuk berkhidmat dengan PETRONAS sampai akhir kerjaya saya,” ujarnya.
Majlis penyampaian tajaan tersebut disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada PETRONAS atas komitmen berterusan dalam membangunkan insan negeri ini.
“Dengan pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan belia Sabah, PETRONAS turut membantu membina asas masa depan yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” katanya.
Seramai 100 orang pelajar menerima anugerah penajaan terbabit untuk pengajian dalam dan luar negara.