![]() |
| Saharuddin (duduk dihadapan empat dari kiri) ketika bacaan doa di baca. |
KALABAKAN: Bagi membentuk generasi yang cemerlang serta berwibawa perlulah disertakan dengan adab yang tinggi.
Menurut Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy generasi muda pada hari ini adalah bakal pemimpin negara di masa hadapan.
“Dalam usaha membentuk generasi pemimpin ini, kitalah yang akan menjadi mentor dan perlu menunjukkan contoh teladan baik dengan setiap tindak tanduk yang kita lakukan.
“Generasi muda pada zaman kini rata-ratanya mempunyai kecemerlangan dari segi mindanya tetapi, harus kita perlu menekankan bahawa setiap perkara yang kita lakukan perlu didahului dengan adab.
“Seorang pemimpin yang disegani itu, bukan hanya diukur pada bijak akalnya tetapi, turut diukur pada ketinggian adabnya” katanya ketika berucap dalam Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di perkarangan Masjid Al Muhajirin Felda Umas.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.71 Tanjung Batu Datuk Saharuddin Salleh.
Tambah beliau, apabila cemerlang dan adab bersatu, akan lahirlah generasi yang berwibawa memimpin negara untuk lebih maju.
“Melalui program-program kenegaraan seperti inilah yang akan menjadi platform untuk kita tingkatkan semangat cintakan negara dan semangat patriotik ke dalam sanubari anak-anak muda ini.
“Usaha ini bukan hanya dilaksanakan pada bulan kebangsaan sahaja tetapi secara berterusan demi membentuk seorang patriot yang mempunyai jati diri yang kukuh untuk terus berbakti dan menjaga kedaulatan serta keharmonian negara," ujar beliau.
Andi juga berkata kerajaan tetap komited untuk membina sebuah negara yang maju, adil dan makmur, serta memastikan rakyatnya hidup sejahtera dan terbela.
“Kita ambil contoh kenduri rakyat yang kita lakukan pada hari ini merupakan satu titik permulaan untuk kita pereratkan hubungan silaturahim di antara kita melalui program ibadah dan kebersamaan kita untuk membentuk persefahaman yang lebih mendalam.
“Justeru, hadirnya rakan-rakan pasukan KMJG pada hari ini bukan sekadar memenuhi acara tahunan, tetapi sebagai perantara membawa simbol perpaduan, kebanggaan dan kesyukuran kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Masjid Al-Muhajirim merupakan lokasi persinggahan terakhir pada hari kelapan dalam siri pengembaraan konvoi KMJG ke seluruh negeri Sabah.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
