![]() |
Gambar ihsan Bomba |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera di kepala dan kaki kiri selepas lori pembancuh simen yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Lintas, berhadapan Iramanis, Kolombong, lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.58 malam itu, mangsa berusia 32 tahun dipercayai memandu lori dalam keadaan kosong sebelum hilang kawalan dan terbabas sendiri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 sebelum menggerakkan sepasukan 10 anggota ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi pada jam 12.01 tengah malam, didapati sebuah lori simen telah terbabas ke dalam parit.
"Mangsa, seorang lelaki, berjaya keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba, serta mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki kiri," katanya.
Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.
Pasukan bomba turut memastikan tiada risiko susulan di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.14 tengah malam.