PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali lagi gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen empat Ahli Parlimen dari Sabah.
Permohonan itu ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Ruzima Ghazali. Turut bersidang ialah Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Hakim Datuk Shahnaz Sulaiman.
Menurut Hakim Ruzima, tindakan Speaker Dewan Rakyat menerusi sepucuk surat bertarikh 16 Januari 2023 adalah terlindung daripada semakan kehakiman berdasarkan Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah Tinggi tidak silap ketika menolak permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman. Rayuan ini tidak mempunyai merit,” katanya.
Susulan keputusan itu, Bersatu turut diperintahkan membayar kos kepada pihak-pihak yang terlibat.
Dalam penghakiman bertulisnya sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan keputusan Speaker berkaitan kekosongan luar jangka adalah tidak boleh dicabar di mahkamah berdasarkan Perkara 63(1) Perlembagaan.
Perkara itu menyatakan bahawa kesahihan sebarang prosiding di mana-mana satu Dewan Parlimen atau jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah.
Johari sebelum ini memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan kekosongan bagi kerusi Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang yang masing-masing disandang oleh Datuk Armizan Mohd Ali, Khairul Firdaus Akbar Khan, Jonathan Yasin dan Datuk Matbali Musah.
Bersatu mendakwa keputusan Johari tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi-kerusi berkenaan adalah 'tercemar dengan unsur ketidakpatuhan undang-undang'.
Keempat-empat Ahli Parlimen itu bertanding sebagai ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun Bersatu masih merupakan sebahagian daripada gabungan tersebut.
Namun selepas PRU15, GRS mengumumkan penamatan keahlian Bersatu dalam gabungan berkenaan.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini berkata, parti telah mengeluarkan surat pemecatan kepada empat Ahli Parlimen terbabit pada 21 Disember 2022 selepas mereka menyokong blok kerajaan semasa sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022.
Ronald mendakwa tindakan tersebut mencetuskan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan seseorang Ahli Parlimen kehilangan kerusi jika berpindah parti, kecuali dipecat atau parti terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.
Susulan itu, Bersatu memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi membatalkan keputusan Johari dan mengarahkan beliau mengisytiharkan kekosongan bagi keempat-empat kerusi tersebut.
Peguam Azhar Harun dan Chetan Jethwani mewakili Bersatu manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly serta Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Peguam Negara. Peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pula mewakili keempat-empat Ahli Parlimen sebagai responden.
Chetan ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam sama ada akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.