KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan semua pihak, termasuk media dan orang awam, supaya tidak mendedahkan identiti lima remaja yang bakal berdepan pertuduhan dalam kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM dalam kenyataan hari ini menegaskan, setiap kanak-kanak berhak dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
Katanya, ia termasuk akses kepada sokongan berasaskan trauma, khidmat guaman serta layanan adil sepanjang proses undang-undang.
“Nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh disiarkan.
“Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini, dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
SUHAKAM turut menegaskan bahawa prosiding melibatkan kanak-kanak dijalankan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, yang merupakan mahkamah tertutup mengikut Seksyen 12 Akta 611, dan hanya pihak terlibat dibenarkan hadir.
“Privasi kanak-kanak mesti dihormati. Fokus utama adalah mencegah stigma terhadap mereka. Perbuatan membuli, sama ada di sekolah atau dalam talian, tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Dalam masa sama, platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa mengemaskini dasar serta piawaian komuniti bagi mengekang penyebaran kandungan yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit.
“Jika tindakan hanya diambil selepas menerima aduan, ia memberi ruang bahan tidak sah dan berbahaya tersebar lebih meluas.
“Kegagalan bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan boleh dianggap bersubahat dalam pendedahan tidak sah,” katanya
SUHAKAM menegaskan, keadilan perlu ditegakkan berlandaskan prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang.