MUIS alu-alukan syarikat, peniaga tunai zakat perniagaan - Ruslan

 

Ruslan diiringi Yahya (kiri) ketika ditemui media.

KOTA KINABALU:   Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengalu-alukan syarikat perniagaan untuk menunaikan zakat perniagaan masing-masing.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata dengan menunaikan zakat pasti mendapat keberkatan.

"Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Maybank kerana telah menunaikan zakat perniagaan untuk Maybank di Sabah.

"Kita juga mengalu-alukan kepada banyak lagi perniagaan di luar sana termasuk peniaga-peniaga kita, kita alu-alukan untuk membayar zakat perniagaan dan kita pasti  pembayaran zakat ini pasti menjadi satu keberkatan kepada perniagaan kita," ujarnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Maybank Tahun 2024.

Zakat perniagaan Kumpulan Maybank bagi tahun haul 2024 berjumlah RM4,285,009.85 itu diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli kepada Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Panglima Yahya Hussin di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Hadir sama ialah Mufti Kerajaan Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Syed Ahmad Taufik Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad (MIB) Malique Firdauz Ahmad Sidique.

Setakat 18 Ogos, MUIS merekodkan jumlah kutipan zakat RM77,801,020.43 dengan zakat penggajian yang menyumbang 51.08 peratus iaitu RM39,737,058.84, diikuti zakat perniagaan dengan sumbangan 19 peratus (RM14,783,317.40), zakat fitrah 15.92 peratus (RM12,388,987.13), zakat pendapatan 7.40 peratus (RM5,758,848.31) dan zakat simpanan 5.54 peratus (RM4,309,957.30) manakala, zakat emas perak, saham, pertanian, ternakan masing-masing di bawah 1 peratus.

Sementara itu, Khairussaleh ketika ditemui media memaklumkan terdapat peningkatan 3.69 peratus zakat perniagaan bagi tahun haul 2024 berbanding tahun 2023.

"Ini adalah sebahagian daripada zakat yang kita beri tiap-tiap tahun di setiap negeri di seluruh Malaysia jadi, apa yang kita berikan ini untuk dimanfaatkan oleh negeri Sabah dan juga MUIS khususnya golongan asnaf di Sabah.

"Masa kita bagi zakat sebelum ini, kita pecah-pecahkan tapi sekarang kita masukkan sekali khusus dari Kumpulan Maybank sebab kita ada Maybank Islamic, kita ada Etika, Takaful. Jadi, kita kumpulkan dan kita berikan," katanya.

Menurut beliau, di Malaysia pihaknya mempunyai 26,000 pekerja dan jumlah tersebut merangkumi hampir 1,000 orang di Sabah dengan 19 cabang di Sabah.

"Cabang ada 19 cabangan, itu cabang branch saja tapi kita ada Private Wealth Centre, kita ada Business Centre, kita ada Auto Hub kalau kita campur ini semua sekali kita ada 33 cabang," jelasnya.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama