KOTA KINABALU: Lima orang remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini.
Pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus itu dibuat mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata semua tertuduh dibenar untuk ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit.
“Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula.
“Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang penjamin,”katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Kesemua yang tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut antara jam 10 hingga 11 malam pada 15 Julai lepas di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Papar.