KOTA KINABALU: Prosiding kes Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, pagi tadi tertakluk kepada perintah larangan (gag order) mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, berkata larangan itu adalah kewajipan undang-undang demi melindungi identiti kanak-kanak, bukannya kerana campur tangan pihak atasan atau status VVIP.
“Undang-undang jelas melarang sebarang pendedahan berhubung identiti kanak-kanak termasuk nama, alamat dan maklumat ibu bapa.
“Ini bukan arahan mana-mana pihak, tetapi peruntukan undang-undang negara,” katanya ketika ditemui selepas prosiding
Menurutnya, beliau tidak boleh mendedahkan perjalanan prosiding kerana bimbang dianggap menghina mahkamah (contempt of court).
“Justeru, orang ramai diminta merujuk kepada kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) yang sebelum ini memaklumkan pertuduhan serta seksyen berkaitan.
“Kami hanya boleh bergantung kepada kenyataan AGC. Tidak ada ruang untuk kami berspekulasi atau mengulas lanjut,” katanya.
Hamid berkata, pihaknya sudah memfailkan permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan (interested party) dalam prosiding inkues yang dijadual bermula 3 September ini. Tarikh pendengaran permohonan dijangka ditetapkan dalam minggu ini.
Beliau turut menegaskan pihaknya akan terus berhubung dengan keluarga Allahyarhamah Zara bagi memastikan mereka sentiasa dimaklumkan perkembangan semasa inkues.
“Saya harap masyarakat jelas. Ini undang-undang yang melindungi kanak-kanak, bukan isu VVIP atau permainan politik. Jangan salah faham,” katanya.