Lelaki mengamuk disyaki di bawah bawah pengaruh dadah ditahan

TAWAU: Akibat dipercayai berada di bawah pengaruh dadah, seorang lelaki warga asing bertindak mengamuk sambil membawa sebilah pisau di kawasan Kampung Batu 4, Jalan Apas, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu mencemaskan penduduk setempat sebelum polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat daripada bilik kawalan IPD Tawau.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis berjaya menahan suspek di luar sebuah rumah. 

"Polis turut merampas sebilah pisau berukuran kira-kira 24.5 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan tiada rekod jenayah lampau dikesan.

Katanya, lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah,” katanya.

Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian, namun ujian saringan akan dijalankan bagi mengesahkannya

Dalam pada itu, Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan komuniti setempat.



Caption : Suspek warga asing ditahan bersama senjata yang digunakan dalam kejadian amuk di Kampung Batu 4, Jalan Apas, awal pagi tadi. Foto | Ihsan PDRM.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama