RANAU: Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam empat operasi berasingan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kundasang, semalam.
Pengarah JIM Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Yussof berkata, operasi berkenaan melibatkan 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dan memeriksa seramai 48 individu.
"Daripada jumlah itu, 40 individu ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan.
Daripada jumlah yang ditahan, 26 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Kesemua mereka adalah warga Indonesia dan Filipina.
Beliau berkata, mereka yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah dan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kehadiran PATI di kawasan masing-masing.