![]() |
Hamid sewaktu ditemui wartawan di luar perkarangan Kompleks Mahkamah, Kota Kinabalu, di sini, hari ini |
KOTA KINABALU: Himpunan solidariti untuk Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak boleh dijadikan pentas politik, sebaliknya fokus kepada tuntutan keadilan buat pelajar berusia 13 tahun itu.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana individu hadir memberi sokongan, namun menegaskan perjuangan ini tidak boleh dipengaruhi agenda politik.
"Kalau ada pihak mahu berpolitik, jangan datang. Kita berkumpul untuk Zara, bukan untuk parti politik," katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam masa sama, Hamid turut memberi jaminan bahawa semua saksi, termasuk pelajar, tidak perlu bimbang untuk tampil memberi keterangan kerana pihaknya akan melindungi mereka.
"Saya menyeru semua saksi supaya jangan takut. Kalau segan dengan polis, boleh datang terus kepada kami. Jangan sampai ada pihak cuba menakut-nakutkan atau mengugut saksi.
"Dalam mencari keadilan, jangan pula memfitnah atau menyebarkan cerita palsu," katanya.
Menurutnya, ibu arwah Zara juga berbesar hati dengan jaminan Perdana Menteri bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dalam kes berkenaan.
"Ibu Zara sangat gembira dengan jaminan itu dan memohon semua saksi, terutama pelajar, supaya tampil membantu siasatan," katanya