KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, ditetapkan bermula 3 September ini di Mahkamah Kota Kinabalu dengan senarai awal 195 saksi bakal dipanggil memberi keterangan.
Inkues itu akan berlangsung di hadapan Hakim Koroner, Azrina Aziz sehingga 30 September depan, bagi mengenal pasti punca sebenar kematian remaja berusia 13 tahun berkenaan.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, berkata jumlah sebenar saksi akan disusun semula oleh Jabatan Peguam Negara mengikut relevan dan kepentingan keterangan mereka.
“Kami difahamkan senarai awal akan membabitkan seramai 195 orang termasuk guru, pelajar dan individu lain.
“Bagaimanapun, jumlah itu mungkin dikurangkan selepas tapisan dibuat,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan kes di sini, hari ini.
Hamid berkata, pihaknya memohon kebenaran mahkamah untuk menjadi pihak berkepentingan (interested party) bagi membolehkan pasukan guaman keluarga menyoal balas saksi.
“Setakat ini kami hanya watching brief. Permohonan rasmi akan difailkan minggu ini dan didengar sebelum 3 September.
“Jika diluluskan, kami boleh menyoal saksi bagi membantu pendakwaan,” katanya.
Beliau turut memohon agar semua dokumen dan bahan bukti yang akan dikemukakan Jabatan Peguam Negara diberikan kepada keluarga.
Mengulas mengenai kehadiran keluarga, Hamid memaklumkan ibu Allahyarham bakal dipanggil sebagai saksi dalam inkues berkenaan.
“Keluarga boleh hadir memberikan sokongan, tetapi ibunya sendiri akan tampil sebagai saksi. Kami pula akan memainkan peranan dalam menyoal balas saksi lain,” katanya.
Dalam masa sama, Hamid menegaskan sebarang himpunan solidariti untuk Zara perlu bebas daripada agenda politik.
“Saya sokong penuh solidariti untuk Zara, tetapi jangan sesekali dipolitikkan. Ia bukan pentas untuk parti atau ucapan berbaur politik. Ini semua demi keadilan untuk Zara,” katanya.