![]() |
Hajiji (lima dari kiri) ketika menyempurnakan Flag-Off Konvoi KMGJ 2025. |
KOTA KINABALU: Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 2,500 tetamu disini pada Jumaat.
Majlis bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni itu turut menyaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hadir menyempurnakan pelancaran tersebut.
Acara dimulakan seawal sembilan pagi dengan ketibaan Ketua Menteri, disusuli nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku yang diiringi oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Inspektor Willbonoh Zain.
Serentak dengan itu, acara menaikkan bendera dilaksanakan dengan penuh hormat oleh empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian Jalur Gemilang kepada 30 wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai simbolik pelancaran Kempen Kibar Bendera 2025.
Majlis turut menyaksikan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah yang melibatkan 20 buah kenderaan dan 60 peserta daripada pelbagai agensi.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Menteri Kewangan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)