![]() |
Ihsan:FB RUSLAN MUHARAM |
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti semula penggunaan papan tanda seperti ‘Serve No Pork’ atau “No Lard”di premis makanan yang tidak memiliki sijil halal secara rasmi.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bagi memastikan garis panduan lebih jelas dapat digubal.
“Kita akan bincang nanti dengan pihak JAKIM dan jabatan agama negeri. Kita akan gubal satu peraturan atau dasar ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Konvensyen Du’at Negeri Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji turut menjelaskan bahawa isu tersebut perlu diperhalusi dengan lebih baik agar tidak menimbulkan kekeliruan orang ramai.
“Di Sabah, ramai juga masyarakat tempatan makan di premis seperti restoran makanan laut (Seafood), yang tidak memiliki sijil halal tetapi guna papan tanda “No Pork”. Tapi, kita akan memperkemaskan peraturan agar perkara ini lebih jelas,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyalurkan tambahan elaun bulanan sebanyak RM200 seorang kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi meringankan beban mereka.