Ibu Zara Qairina dijangka serah telefon bimbit kepada polis petang ini

 

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina, Noraidah Lamat dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Kepayan untuk menyerahkan telefon bimbitnya pada petang ini.

Dua orang peguam yang mewakili keluarga arwah, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan media berkata penyerahan telefon bimbit itu adalah bagi membantu melengkapkan siasatan polis berhubung kes membabitkan Zara Qairina.

"Untuk membantu melengkapkan siasatan polis, anak guam kami iaitu Puan Noraidah binti Lamat iaitu ibu kepada Zara akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan Zara kepada polis pada petang ini di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu di Kepayan," jelas dalam kenyataan terbabit.

Sementara itu, pasukan peguam kepada ibu Zara Qairina turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana telah memulangkan semula laporan siasatan awal penuh berhubung kematian Zara kepada polis semalam, bersama arahan untuk beberapa tindakan lanjut sebelum sebarang langkah seterusnya diambil.

"Kami berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir (Zara) kepada Polis Diraja Malaysia semalam beserta arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut. 

"Tindakan ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon oleh kami dalam surat kami bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar. 

"Kami berharap tiga perkara ini telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan di atas iaitu penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian.

"Satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara," katanya.

Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu sekolah agama didakwa jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada 16 Julai lalu dimana punca sebenar kes yang turut dikaitkan dengan insiden buli.

Kes terbabit menjadi tular dalam laman media sosial dalam tempoh singkat sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), selain pempengaruh serta orang awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama