KOTA KINABALU: Keluarga kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, berkemungkinan memohon prosiding inkues bagi merungkai punca sebenar kematian remaja itu, bergantung kepada hasil laporan penuh bedah siasat yang kini sedang disiapkan.
Peguam yang mewakili keluarga, Shahlan Jufri, berkata langkah itu akan dipertimbangkan sekiranya ahli keluarga tidak berpuas hati dengan dapatan laporan berkenaan.
“Proses seterusnya, pihak peguam akan berbincang dengan keluarga dan kemungkinan besar kita akan minta inkues, tetapi ia bergantung kepada keputusan laporan post-mortem.
“Jika keluarga berpendapat hasilnya tidak memuaskan, inkues boleh dimohon. Namun, sekiranya ada suspek yang ditangkap dan dituduh di mahkamah, inkues tidak akan diadakan kerana proses perbicaraan sudah berjalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, semalam.
Shahlan turut menjelaskan, dakwaan bahawa ibu arwah enggan bedah siasat dijalankan adalah tidak benar kerana keputusan berhubung perkara itu adalah di bawah bidang kuasa pihak berautoriti.
“Kematian dalam keadaan sebegini akan melalui proses bedah siasat secara automatik oleh pihak berwajib. Tidak wajar menuding jari kepada ibu arwah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sudah meminta Peguam Negara mengembalikan kertas siasatan serta melantik pasukan penyiasat khas dari Bukit Aman bagi memastikan ketelusan siasatan.
“Setakat ini kami belum menerima maklum balas berhubung permintaan tersebut,” katanya.
Mengulas spekulasi yang mengaitkan kematian Zara Qairina dengan tekanan politik, Shahlan menegaskan tiada sebarang fakta atau bukti yang menunjukkan penglibatan ahli politik.
“Sekiranya ada bukti, kami akan dedahkan. Dari awal lagi, keluarga tidak pernah mengaitkan kes ini dengan politik.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil dan membuat laporan polis,” katanya.
Shahlan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan persepsi yang boleh menjejaskan imej arwah dan keluarga.
“Jangan membuat tuduhan tidak berasas. Sama seperti kita tidak mahu arwah difitnah, begitu juga dengan pihak lain. Biarlah proses siasatan berjalan berdasarkan fakta dan bukti,” katanya.
