LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina maut, manakala rakannya parah selepas motosikal mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 80, Jalan Lahad Datu–Tungku (Felda Sahabat 4), semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala pembonceng berusia 19 tahun cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati Perodua Alza dipandu lelaki tempatan, 49, dari arah Tungku menuju ke Cenderawasih bertembung dengan Honda EX5 mangsa dari arah bertentangan.
“Motosikal itu dipercayai terjatuh dan terseret ke lorong bertentangan sebelum dilanggar Perodua Alza. Akibatnya, penunggang dan pembonceng tercampak berhampiran garisan berkembar.
“Tidak lama kemudian, sebuah Proton Saga dipandu lelaki warga Indonesia, 37, dari arah sama dengan Perodua Alza, merempuh motosikal berkenaan sehingga terseret ke bahu kanan jalan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu kereta tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dan menunggang secara berhemah bagi mengelakkan tragedi sama berulang,” katanya.

