![]() |
| Nizam semasa ditemui media. |
TAWAU: Kecekapan penjawat awam merupakan cerminan prestasi perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu bakar Titingan berkata para penjawat awam seharusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selain menjadi perantara maklumat yang tepat di antara kerajaan dengan masyarakat.
"Saya ingin menyarankan agar semua pemimpin masyarakat masyarakat dan juga para penjawat awam dapat menjadi anggota ataupun menjadi wadah kepada kerajaan untuk menyampaikan semua perkara-perkara yang tepat dan sahih demi menjaga nama baik kerajaan yang ada pada hari ini.
"Sebagai penjawat awam tanggungjawab anda adalah memberikan khidmat bakti kepada rakyat mewakili kerajaan yang memerintah kerana anda semua adalah cerminan kepada kerajaan sedia ada.
"Jadi sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, laksanakanlah tugas kita dengan penuh amanah dan hindari perkara yang boleh menjejaskan nama baik penjawat awam.
"Jadilah agen penyampai maklumat yang sahih dan benar kerana masyarakat setempat terutamanya penduduk kampung, banyak bergantung dengan maklumat dari tuan-tuan dan puan-puan selaku jentera penggerak kerajaan.
"Apabila kredibiliti kita diiktiraf, maka, kepercayaan masyarakat terhadap kita juga akan meningkat maka kita akan menjadi pusat maklumat yang sahih dan agen penyebar maklumat yang terbaik.
"Jadi, kekalkan momentum itu, dan bantulah kami untuk menyampaikan dasar dan inisiatif kepada masyarakat setempat, agar semua rakyat dapat kita santuni," kata belia semasa ditemui media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Peringkat Daerah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
Mengenai sambutan Bulan Kebangsaan, Nizam menyeru masyarakat agar mencontohi penduduk negara jiran yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi apabila tiba hari kemerdekaan negara mereka.
"Kita harus melihat bagaimana rakyat di luar negara seperti saya sebut tadi bila saja musim hari kemerdekaan mereka maka tanpa disuruh mereka telah mengibarkan memasang bendera negara mereka bagi menunjukkan kecintaan mereka kepada negara mereka.
"Mereka jadi ini juga harus kita jadikan contoh supaya rakyat Malaysia yang ada di Sabah ini mempunyai sikap patriotisme seperti itu kerana ia menunjukkan kita mencintai negara kita, kita mahu mempertahankan negara kita, bahkan dengan menaikkan bendera negara kita adalah tanda kecintaan dan sayang kita kepada negara tempat kita berteduh," ujar beliau lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) N.67 Balung, Timbalan Presiden MPT Mohd Shoffian Mohd Said dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah Jainisah Mohd selaku Ketua Konvoi KMJG 2025.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
