KOTA KINABALU: Seramai 305 orang graduan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) diraikan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-19 yang berlangsung di Dewan Sipadan I-II, Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, konvokesyen bukan pengakhiran perjalanan ilmu tetapi permulaan kepada cabaran baharu dalam menyumbang untuk agama, bangsa dan negara.
“Konvokesyen ini bukanlah penamat perjalanan ilmu, tetapi permulaan kepada pengembaraan baharu. Teruslah menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, hatta hingga ke Ijazah Doktor Falsafah (PhD), kerana ilmu adalah cahaya yang akan terus menerangi jalan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis terbabit.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Pendidikan dan Agama Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Daripada jumlah keseluruhan graduan tersebut, 97 adalah daripada program Diploma Dakwah Islamiah (DDI), 28 Sijil Pengajian Islam (SPI), 167 Sijil Asas Pengajian Islam Malaysia (SAPIM) Kampus Kudat, dan 13 SAPIM di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Beliau turut mengimbau sejarah panjang IPDAS yang bermula pada tahun 1979 sebagai Pusat Latihan Dakwah Keningau (PLDK), sebelum diserahkan kepada kerajaan Persekutuan pada tahun 1984.
*Kemudian, institusi itu berkembang sehingga kini telah mencatatkan jumlah graduan seramai 16,327 orang yang berbakti di seluruh Sabah.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa IPDAS bukan sekadar memelihara turath keilmuan Islam, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran era teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).
"Pendekatan ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri untuk merapatkan jurang antara turath Islam dan ilmu semasa," katanya.
IPDAS juga berjaya mengekalkan dua pensijilan penting antarabangsa, iaitu ISO 21001:2018 dan ISO 9001:2015, yang menandakan mutu sistem pengurusannya diiktiraf pada tahap global.
