KOTA KINABALU: Dua ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu membabitkan Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.6 juta.
Sumber berkata, suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia lingkungan 50-an itu ditahan sekitar jam 11 pagi tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk dirakam keterangan.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengemukakan dua tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) pada 2022 dan 2023.
“Salah satu tuntutan adalah bagi pembekalan mesin retort dan peralatan usahawan bernilai lebih RM400,000, manakala satu lagi tuntutan membabitkan perkhidmatan pensijilan MeSTI, My Food dan sijil Halal dengan nilai lebih RM3.2 juta,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibebaskan selepas membayar deposit RM1,000 daripada jumlah wang jaminan RM10,000 yang dikenakan, dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Khamis ini.
