J-KOM fokus perkukuh 'Engagement' bersama belia

Ismail (tengah) ketika ditemui media.

KOTA KINABALU: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memberi penekanan terhadap pendekatan engagement bersama golongan belia dalam memperkukuh kefahaman mengenai dasar serta inisiatif kerajaan.

Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop berkata pendekatan itu penting memandangkan generasi muda kini lebih dominan dalam penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi.

“Kalau kita mengambil pendekatan konfrontasi, mereka akan lebih jauh daripada kita. Sebab itu yang penting ialah kita kena engage dengan mereka, memahami sebab psikologi mereka berbeza dengan generasi terdahulu.

“Jadi, perlu ada banyak program turun padang kerana jika hanya bergantung pada media sosial, elemen kemanusiaan akan tertinggal,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Beliau juga menegaskan peranan J-KOM sebagai agensi sosiopolitik kerajaan adalah untuk memberikan penjelasan dan penerangan kepada rakyat mengenai dasar serta polisi kerajaan semasa.

“Kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi fokus kita. Sebab itu penting rakyat diberikan kefahaman tentang segala usaha kerajaan agar terus menyokong inisiatif yang dilaksanakan,” ujarnya.

Kunjungan hormat itu bertujuan menjelaskan peranan di samping memperkenalkan diri beliau selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM berkuat kuasa 15 Januari lalu.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti), Suwadi Guiling dan Pengarah J-KOM Sabah, Milus Alu@Abdul Wahab.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama