![]() |
Abdul Nasser (tengah) ketika ditemui media. |
KOTA KINABALU: Energy Commission of Sabah (ECoS) memberi tumpuan memastikan semua kampung luar bandar di Sabah menerima bekalan elektrik menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata sasaran itu seiring dengan Sabah Energy Roadmap Master Plan berdasarkan bancian 2022.
“Kerajaan negeri turut bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras usaha membekalkan elektrik ke seluruh kampung luar bandar di Sabah.
''Ini memerlukan masa, namun kita yakin sasaran 100 peratus dapat dicapai,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.
Kunjungan di Istana Seri Kinabalu itu bertujuan memberikan maklumat kepada Tun Musa mengenai situasi semasa bekalan elektrik dan gas daratan di Sabah termasuk perancangan yang sedang dilaksanakan serta pencapaian yang telah dicapai melalui pelbagai inisiatif.
Abdul Nasser turut memaklumkan bekalan elektrik di Sabah terus menunjukkan penambahbaikan progresif dengan penurunan indeks gangguan bekalan (CITI).
“Pada 2023 gangguan sekitar 500 minit, menurun kepada 400 minit pada 2024, tahun ini kita jangka kurang daripada 300 minit.
''Sasaran kita ialah mencapai 100 minit menjelang 2030 melalui penambahan generator baharu serta penaiktarafan sistem penghantaran dan pembahagian,” jelasnya.
Beliau berkata, pembangunan modal insan dalam bidang tenaga turut diberi perhatian dengan kerjasama Institut Latihan Teknikal dan Perdagangan (ILTP) Papar bagi menaik taraf modul latihan elektrik dan gas, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)