Deretan kedai hangus, Bomba bertarung 7 jam padam api

 

Kebakaran melibatkan premis MR.DIY dan sebuah klinik pergigian di Jalan Seri Melor, Tinagayan, di sini malam tadi. Foto | Ihsan Bomba.

SEMPORNA : Pasukan bomba mengambil masa hampir tujuh jam untuk memadam sepenuhnya kebakaran membabitkan deretan kedai dua tingkat di Jalan Seri Melor, Tinagayan, di sini malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.53 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna bersama bantuan BBP Air Semporna dan BBP Kunak digerakkan ke lokasi.

Menurutnya kenyataan itu, operasi pemadaman berdepan cabaran berikutan tekanan pili bomba rendah, menyebabkan pasukan menggunakan pelbagai sumber air termasuk dari lori tangki Jabatan Air Sabah, jentera bomba dan sumber terbuka.

“Kebakaran melibatkan premis MR.DIY yang musnah 90 peratus serta sebuah klinik pergigian di tingkat atas yang terbakar 50 peratus.

“Api dapat dikawal pada jam 8.19 malam dan operasi pemadaman sepenuhnya ditamatkan pada 12.52 tengah malam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelasnya lagi, seramai 49 anggota dengan kekuatan sembilan kenderaan terbabit dalam operasi, selain turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama