KOTA KINABALU: ‘Kalau benar mahu hapus hutang PTPTN dan Yayasan Sabah, kenapa tidak buat masa berkuasa dulu?’
Itu persoalan yang dibangkitkan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, susulan kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang berjanji mahu melaksanakan pelupusan pinjaman pendidikan sekiranya kembali berkuasa.
Nizam berkata, janji sebegitu hanyalah skrip politik lama yang diulang semula apabila tiba musim pilihan raya.
“Rakyat Sabah bukan pelupa. Mereka masih ingat semasa Warisan memerintah dari 2018 hingga 2020, tidak ada satu pun dasar konkrit yang menunjukkan kesungguhan membantu pelajar Sabah.
“Tiada pelupusan hutang, tiada biasiswa baharu, tiada dana khas untuk pelajar luar negeri. Jadi, bila sudah hilang kuasa baru mahu ambil berat soal pendidikan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menyifatkan janji-janji seperti itu sebagai cubaan meraih undi secara mudah tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada kewangan negeri dan negara.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sentiasa komited memperjuangkan pendidikan rakyat secara realistik dan berterusan.
“GRS tidak menjual mimpi. Kita tunjuk bukti dari Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk keluarga B40, Dermasiswa Sabah Maju Jaya, hingga inisiatif khas untuk pelajar Sabah di luar negara.
“Semua ini dilaksanakan dengan tanggungjawab fiskal dan tidak perlu tunggu musim pilihan raya untuk diumumkan,” katanya.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah turut menyeru golongan muda Sabah agar bijak menilai dan tidak membiarkan masa depan mereka digadai oleh mereka yang hanya hadir ketika memerlukan undi.
“Rakyat Sabah berhak untuk terus maju, bukan mundur kerana mempercayai janji lama dalam bungkusan baharu,” katanya.