KOTA KINABALU: Hampir 3,000 jemaah membanjiri masjid Bandaraya Kota Kinabalu bagi majlis tahlil, bacaan Yasin dan doa kesejahteraan untuk arwah Zara Qairina, hari ini.
Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Paiman Abdul Karim berkata, majlis itu diadakan serentak hari ini di semua masjid dan surau seluruh negeri Sabah.
“Iya, kita akan laksanakan secara serentak majlis pada hari ini di seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita di depan pintu masuk Masjid Bandaraya KK, di sini, hari ini.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmy Yahya, Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi merangkap EXCO agama dan pendidikan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Arif serta Menteri Kewangan, Datuk Masidi Majnun.
Menurutnya, majlis akan bermula sejurus selepas habis melaksanakan solat maghrib dan disusuli dengan solat hajat secara berjemaah.
“Seterusnya, bacaan Yasin, tahlil dan doa serta tazkirah daripada mufti berkenaan dengan arwah,” jelasnya.