Ketidakkompetenan dikesan dalam siasatan kematian Zara Qairina – Saifuddin

Saifuddin sewaktu sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) Bilangan 1 Tahun 2025, di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pasukan khas Bukit Aman mengesan unsur ketidakkompetenan dalam siasatan awal kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang sebelum ini dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penilaian semula pasukan khas itu mendapati keputusan tidak meneruskan bedah siasat pada peringkat awal menimbulkan tanggapan kemungkinan ada usaha menutup sesuatu.

"Telah dikesan semacam elemen yang menunjukkan ketidakkompetenan pihak pegawai penyiasat. Tidak meneruskan post-mortem itu adalah sesuatu yang menimbulkan tanggapan pihak polis cuba untuk menutup sesuatu," katanya.

Menurutnya, pasukan khas turut mendedahkan kewujudan surat kebenaran atau *consent letter* yang ditandatangani ibu arwah untuk tidak dilakukan bedah siasat, yang sebelum ini tidak diketahui umum.

"Sebelum ini kita tidak tahu ada consent letter itu. Ia hanya dimaklumkan kepada kita buat pertama kali semalam," katanya lagi

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) Bilangan 1 Tahun 2025, di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu.

Saifuddin berkata, keputusan menggali semula kubur dan melakukan bedah siasat baharu diambil bagi memastikan penemuan lebih menyeluruh serta tepat, selain memastikan semua kemungkinan diperiksa semula pakar forensik.

Tambahnya, penemuan awal bedah siasat terkini selari dengan laporan awal sebelum ini, termasuk penilaian doktor mengenai punca kematian, dan maklumat itu sudah dimaklumkan kepada waris serta pasukan peguam keluarga.

Beliau menegaskan, polis komited menyiapkan siasatan segera bagi menjamin keadilan kepada semua pihak dan mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan proses undang-undang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama