Pusat Autisme pertama di Sabah sudah dibuka secara rasmi

 

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui kerjasama startegik Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Pusat Autisme Sabah (PAUS) yang pertama, secara rasmi dibuka hari ini di Sembulan. 

Menteri Pembangunan Masyarakat Sabah, Datuk James Ratib berkata, inisiatif menyediakan pusat ini bertujuan memberikan pendedahan awal bagi membantu perkembangan kanak-kanak autisme sebelum memasuki sekolah menengah.

Katanya, kerajaan negeri telah memberi subsidi sebanyak RM350 daripada RM650 yuran pendaftaran, menjadikan kos sebenar yang ditanggung ibu bapa hanya RM300 sebulan.

“Kalau di swasta, paling murah pun RM1,300 sebulan, malah ada yang mencecah RM2,700. Di Singapura, kosnya kira-kira RM14,000 sebulan bagi setiap anak autisme. Namun, di pusat ini hanya RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat pusat tersebut pada Program Perasmian Pusat Autisme Sabah (PAUS) di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Sabah menjadi negeri pertama di Malaysia mempunyai Pusat Autisme yang dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan. 

“Dan kita sudah menubuhkan tiga Pusat Autisme di Sabah hari ini. Pertama di Kota Kinabalu, Sandakan dan juga di Tawau,” ujar beliau. 

Selain itu, James menambah bahawa kerajaan negeri juga merancang untuk memperluaskan kemudahan itu ke daerah lain termasuk Keningau, Kudat dan Beaufort. 

Menurutnya, setakat ini, pusat tersebut sudah menerima 92 pelajar yang berumur antara tiga hingga tujuh tahun bagi cawangan Sembulan. 

“Kita juga berharap pada masa akan datang, guru-guru ini dapat dihantar ke Singapura untuk menjalin kerjasama strategik, mempelajari kaedah terbaik menangani serta memperluas ilmu pengetahuan dalam pengurusan anak-anak autism,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama