KOTA KINABALU: Golongan belia khususnya generasi Z diingatkan untuk perlu lebih bijak dalam menerima dan menapis maklumat yang tersebar di media sosial agar tidak mudah terpengaruh dengan berita-berita palsu.
Pengerusi Smart Sabah, Datuk Mohammed Razali Razi berkata, walaupun media sosial menjadi medium utama anak muda hari ini, namun ia tidak seharusnya dijadikan rujukan tunggal tanpa disemak kesahihannya.
“Jangan terlalu percaya dengan apa yang dihidang di sosial media. Kita mesti berfikir dengan bijak, dapatkan pandangan guru, ibu bapa atau sumber rasmi untuk memastikan kesahihan maklumat atau berita sebelum kita membuat sebarang tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir sebagai panel dalam Program Tamu Suara 360° anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersama Majlis Belia Sabah (MBS) di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu (KTEKK) di sini, hari ini.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar yang berpeluang mendengar pandangan pemimpin serta membincangkan isu semasa berkaitan aspirasi belia dan cabaran era digital.
Menurut beliau lagi, tujuan utama program itu adalah untuk memberi ruang kepada pemimpin mendengar secara langsung suara generasi muda, memahami keperluan mereka, dan bertindak demi kepentingan belia.
“Apabila kita mendengar, kita akan faham. Apabila kita faham, barulah kita boleh membuat keputusan yang tepat demi masa depan anak-anak muda kita,” jelasnya.
Dalam sesi soal jawab bersama pelajar, Razali turut mengingatkan agar golongan muda tidak mudah hanyut dengan maklumat tular, sebaliknya menilai dengan sikap kritis sebelum menerima sesuatu sebagai benar.
Dalam program sama, sumbangan sebanyak RM5,000 turut diberikan kepada sekolah melalui Pengetua, Suhaibul Kassim.
Majlis dirasmikan oleh Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan.