KOTA KINABALU: Ketua Unit Logistik Jawatankuasa Pilihan Raya Keadilan Sabah (JPRS), Fekirie Gobet, meletakkan jawatan serta-merta selepas mendakwa peranan jawatankuasa negeri itu tidak lagi relevan apabila urusan logistik diambil alih sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP).
Fekirie berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati banyak keputusan yang dibincangkan di peringkat JPRS diketepikan, sekali gus menggambarkan kehilangan autonomi dalam pengurusan pilihan raya di Sabah.
Katanya, antara sebab utama peletakan jawatan ini adalah kerana urusan logistik kini diuruskan sepenuhnya oleh JPRP pusat tanpa melibatkan Sabah.
“Bukan sahaja Unit Logistik, malah beberapa unit lain dalam JPRS turut berdepan situasi sama.
“Hasil perbincangan dengan rakan-rakan juga menunjukkan kita tidak lagi mempunyai ruang membuat keputusan, sebaliknya hanya menunggu arahan daripada pusat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan JPRP menguruskan sepenuhnya hal ehwal logistik parti, memandangkan peranan unit logistik di bawah JPRS tidak lagi digunakan.
Dalam masa sama, Fekirie menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi JPRS, Datuk Peto Galim, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sebelum ini.
“Saya doakan agar urusan JPRS dipermudahkan dan saya tetap bersedia untuk membantu pada Pilihan Raya Negeri akan datang, selagi peranan JPRS tidak dipinggirkan,” katanya.